FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Jumaat, 24 Jun 2011

Pengsan tepi wakaf

Pengsan tepi wakaf
Harian Metro Kosmo 24 Jun 2011



CEDERA...Mohd Zailani dibawa ke Hospital Besut.

BESUT: Tindakan sekumpulan remaja berkumpul di sebuah wakaf di Kampung Durian Telor, Pasir Akar, Hulu Besut, di sini, mengundang padah apabila tiga cedera apabila wakaf itu ditimpa pokok dipanah petir, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 5.30 petang ketika sekumpulan 12 remaja berusia antara 15 dan 40 tahun ceria berbual sambil beberapa orang daripada mereka membalas khidmat pesanan ringkas menerusi telefon bimbit masing-masing.

Bagaimanapun, keasyikan mereka terganggu apabila berlaku ribut petir disusuli hujan lebat, namun remaja terbabit tidak berganjak meninggalkan wakaf berkenaan.

Namun, tindakan mereka membawa padah apabila panahan petir pada sebatang pokok besar di tepi wakaf tempat remaja terbabit berkumpul turut terkena tiga daripada mereka menyebabkan mangsa cedera dan pengsan.

Mangsa, Mohd Sahadam Nik Mar, 17, Muhamad Fariz Ismail, 15, dan Mohd Zailani Keria, 23, tercampak dari wakaf berkenaan.

Rakan mangsa, Saiful Bahari Ramli, 15, berkata ketika kejadian dia panik melihat ketiga-tiga mangsa jatuh ke tanah dari atas wakaf berkenaan.

“Melihat tiga rakan kami jatuh tersembam, kami panik dan melarikan diri kerana terkejut selain bimbang menjadi mangsa.

“Panahan petir itu terkena pokok di sebelah wakaf menghasilkan bunyi letupan kuat dan menggerunkan,” katanya.

Menurutnya, selepas hujan dan petir reda, beberapa penduduk kampung dimaklumkan kejadian itu bergegas datang dan membawa semua mangsa ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa yang pengsan hanya cedera ringan dan keadaan mereka tidak membimbangkan meskipun masih trauma.

Saiful berkata, sudah menjadi kelaziman wakaf itu menjadi tempat remaja berkumpul setiap petang dan kejadian kelmarin yang pertama seumpamanya berlaku di kampung berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/3pengsantepiwakaf/Article/index_html

Tiga pengsan dipanah petir
Kosmo 24 Jun 2011

JERTIH - Tiga daripada 12 sahabat yang berteduh hujan di sebuah wakaf di Kampung Durian Telor, Pasir Akar, Hulu Besut dekat sini kelmarin cedera dan pengsan apabila terkena kesan panahan petir yang menyambar sebatang pokok di tepi wakaf itu.

Semasa kejadian pada pukul 5.30 petang, ketiga-tiga mangsa iaitu Mohd. Sahadam Nik Mar, 17, Muhamad Fariz Ismail, 15, dan Mohd. Zailani Keria, 23, dikatakan berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Sebaik petir itu terkena pokok sena yang terletak pada jarak kira-kira dua meter dari wakaf itu, ketiga-tiga mangsa terjatuh dari wakaf dan pengsan.

Sembilan lagi rakan mereka yang turut berada di atas wakaf itu melarikan diri kerana takut melihat panahan petir yang kuat itu.

Mohd. Sahadam, Muhamad Fariz dan Mohd. Zailani yang berasal dari Kampung Durian Telor dekat sini dihantar ke Hospital Besut oleh orang kampung kira-kira 20 minit selepas kejadian.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Tiga Remaja Lelaki Cedera Dipanah Petir Di Hulu Besut
Mstar Kosmo 24 Jun 2011

BESUT: Tiga remaja lelaki cedera dan pengsan selepas disambar petir ketika sedang berteduh daripada hujan bersama sembilan yang lain di sebuah wakaf di Kampung Durian Telur, Pasir Akar, Hulu Besut, Rabu.

Kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang ketika kesemua mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun berteduh di pondok berkenaan sementara menunggu hujan reda.

Mohd Sahadam Nik Mar, 17, Muhamad Fariz Ismail,15, dan Mohd Zailani Keria, 23, yang kesemuanya berasal dari Kampung Durian Telur di sini dikejarkan ke Hospital Daerah Besut oleh penduduk kampung kira-kira 6.15 petang.

Keadaan ketiga-tiga mereka yang masih dirawat di hospital itu dilaporkan stabil.

Menurut rakan mangsa, Saiful Bahari Ramli, 15, yang turut berteduh di wakaf itu ketika kejadian, secara tiba-tiba kilat dan petir memanah ke arah sebatang pokok berhampiran wakaf tersebut menyebabkan mereka bertiga rebah dan tidak sedarkan diri.

Selepas melihat keadaan ketiga-tiga mereka terjatuh, kesemua yang lain melarikan diri kerana panik, katanya kepada Bernama ketika ditemui di hospital itu hari ini.

"Sebaik hujan reda penduduk yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian datang menyelamatkan mangsa dengan menghantar mereka ke hospital," katanya.

Katanya ketika kejadian, ada di antara mereka menggunakan telefon bimbit untuk berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS). - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2011/6/23/mstar_jenayah/20110623170442&sec=mstar_jenayah