FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Jumaat, 25 Mac 2016

Ajal dipanah petir



Ajal dipanah petir


Kampar : Murid tahun enam maut selepas rebah dipercayai dipanah petir ketika bermain bola sepak di padang berhampiran rumahnya di Taman Cahaya, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, Muhammad Udin Dulkafi serta empat rakannya bermain bola di padang berkenaan sebelum hujan.

Ketua Polis Daerah Superintendan Ng Kong Soon berkata, mangsa tiba-tiba rebah ketika bunyi dentuman kilat selepas hujan.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Kampar sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

"Hasil bedah siasat yang dilakukan pada jam 9 malam tadi mendapati punca kematian disebabkan kejutan elektrik akibat panahan kilat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 10:58 PM

Isnin, 21 Mac 2016

Helikopter Tentera Indonesia Terhempas Disambar Petir, 13 Terkorban



Helikopter Tentera Indonesia Terhempas Disambar Petir, 13 Terkorban
Ahad, 20 Mac 2016 11:09 PM


JAKARTA: Sebuah helikopter milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) yang membawa 13 anggota tentera terhempas dipercayai akibat disambar petir di Poso, Sulawesi Tengah lewat petang Ahad.

Kesemua 13 anggota termasuk pilot disahkan terkorban.

Menurut siaran televisyen tempatan, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan ketika pesawat berkenaan sedang melakukan operasi khas.

Jurucakap Bahagian Penerangan Tentera, Made Sutia dipetik sebagai berkata,pesawat malang itu dilaporkan berlepas dari Desa Watutau, Daerah Lore Piore di Poso pada pukul 5.20 petang.

Katanya, ketika kejadian cuaca dilaporkan buruk dan setelah kira-kira 30 minit di angkasa, pesawat malang itu dikatakan disambar petir sebelum terhempas di kawasan perkebunan di Kasiguncu, Poso Pesisir Selatan, Poso. 

Kesemua mangsa ditemui mati dalam helikopter jenis 412 EP yang terbakar itu.

Mayat-mayat dibawa ke hospital di Palu. –Bernama

Selasa, 19 Januari 2016

Ghaib dipanah petir



Ghaib dipanah petir
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris
Hanafis@hmetro.com.my


Batu Pahat: “Selepas kilat menyambar di sekitar kawasan Yong Ching berada, saya dapati dia tiada di atas bot,” kata Go Swee Heng, 37, rakan Ng Yong Ching, 21, nelayan maut dipanah petir di laut berhampiran Rumah Api Sungai Ayam, Senggarang, di sini, kelmarin.

Mangsa dikatakan terjatuh ketika menarik pukat di atas bot gentian kaca miliknya dalam kejadian jam 5 petang itu yang turut menyaksikan laut bergelora akibat ribut petir.

Menurut Swee Heng, ketika itu dia berada 100 meter dari lokasi mangsa.

“Sebelum kejadian, cuaca memang agak buruk dengan hujan lebat disusuli angin kencang dan ribut petir. Kami kemudian membuat keputusan untuk pulang dan ketika sedang menarik pukat, saya terdengar bunyi petir.

“Ketika itu juga, saya ternampak panahan kilat menyambar sekitar kawasan Yong Ching berada sebelum kelibatnya hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan dia tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rakannya itu sebelum bertindak menghubungi bapanya selain membuat panggilan kecemasan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.30 petang selepas dihubungi bapa Yong Ching, Ng Ben Swee, 59.

“Sebaik menerima aduan, bot kilat 13 APMM bersama empat anggota bergegas ke lokasi untuk gerakan mencari dan menyelamat yang turut dibantu 12 bot nelayan tempatan, sebuah bot Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta dua bot Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian ditemui kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi kejadian pada jam 4.50 petang, semalam, dengan kesan terbakar pada bahagian kaki dan kepala dipercayai akibat panahan petir.

“Bagaimanapun, bedah siasat perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Sungai Ayam sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 6:21 AM

Isnin, 18 Januari 2016

Nelayan lemas dipanah petir



Nelayan lemas dipanah petir
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my

Batu Pahat : Seorang lelaki berusia 21 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut akibat dipanah petir ketika menangkap ikan berhampiran Rumah Api Sungai Ayam, Senggarang, di sini, kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Mangsa dikatakan terjatuh ke dalam laut ketika memukat di kawasan berkenaan seorang diri.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid, Jamari Rumadi, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5.59 petang dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.

“Mangsa dikenali sebagai Ng Yong Ching, berusia 21 tahun dan ketika kejadian ada seorang saksi berhampiran lokasi berkenaan.

"Seramai enam anggota dikerah mencari mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 11:18 PM

Sabtu, 28 November 2015

Masjid dipanah petir



Masjid dipanah petir
28 Nov 2015

Shah Alam: “Ketika kejadian, seramai 23 pelajar tahfiz dapat rasa gegaran sangat kuat seakan-akan gempa kecil yang melanda di pekarangan masjid,” kata Azmi Daud, 46.

Beliau yang juga Imam Masjid Lama Al-Falah, Sri Muda, Seksyen 25, dekat sini, menceritakan kejadian masjid itu dipanah petir, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira 4.30 petang itu mengakibatkan siling di bahagian ruangan solat utama masjid rosak teruk berikutan kebakaran kecil disebabkan petir yang menyambar.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan hampir keseluruhan struktur siling musnah hingga bekalan elektrik terputus dan kerugian kira-kira RM50,000.

Azmi berkata, bunyi dentuman guruh sangat kuat sebanyak tiga kali sebelum kilat menyambar siling masjid hingga 23 pelajar Madrasah Tahfiz al-Quran Wa Attalim Al Islamiah dalam sesi pembelajaran di bilik sebelah terkejut.

Beliau berkata, insiden menyebabkan ada di antara pelajar yang trauma, namun bersyukur kerana tiada sesiapa di ruang solat berkenaan ketika kejadian.

“Apabila mendengar bunyi yang kuat, pelajar terus berlari ke dalam masjid dan melihat siling di ruang solat terbakar. Mereka bertindak pantas menyimbah air memadamkan kebakaran berkenaan bagi mengelak daripada terus merebak ke bahagian lain.

“Ini dugaan kedua terbesar yang pernah berlaku, pembinaan semula asrama yang terbakar Jun tahun lalu masih terbengkalai akibat kekurangan dana RM500,000 lagi,” katanya ketika ditemui semalam.

Azmi berkata, buat sementara, solat jemaah dilakukan di ruang solat di bahagian luar sementara menunggu bekalan elektrik disambung semula dan selamat untuk digunakan.

Dia mengakui kejadian itu menimbulkan kegusaran ditambah dengan masalah asrama sementara yang didiami pelajar tahfiz ketika ini juga diancam tidak selamat.

“Asrama yang mereka huni buat sementara waktu ini adalah bangunan tambahan yang sudah usang dan tidak kukuh, selain tidak selesa, ia juga tidak selamat dan runtuhan boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Oleh itu, bantuan orang ramai diperlukan untuk membaik pulih semula bekalan elektrik dalam masa terdekat sebelum pelajar tahfiz masuk semula daripada bercuti,” katanya.

Sabtu, 26 September 2015

15-year-old boy killed, 3 others injured by lightning

15-year-old boy killed, 3 others injured by lightning
25 September 2015


KUALA TERENGGANU: An outing to lay a trap to catch eels ended in the death of one youth and serious injuries to three of his cousins when lightning struck a barn during a thunderstorm in Kampung Pak Katak, Batu Enam.

Police said Form Three student Mohd Zamaqusyairi Ismail, 15, died on the spot after suffering severe burns on his chest in the incident at the barn housing goats 4.10pm.

The deceased's three cousins Mohd Syawal Zakaria, 14, suffered serious burns to his leg, Khairi Fatullah Zaid, 20, was hurt on his head and with partial loss of eye-sight, while Samsul Mohd Nor, 32, was lucky to escape with minor burns.

According to Zamaqusyairi's mother Azizah Daud, 38, she had accompanied her husband and three children to her in-law's house nearby to attend a 'cukur jambul' (trimming a new-born's hair) ceremony.

She said during the thunderstorm, one of her nephews raised the alarm of the lightning strike on four teenagers at her barn.

"I immediately rushed back and was shocked to learn of Zamaqusyairi's death. Zamaqusyairi had gone to the rear of the barn with his three cousins to make traps to catch eels at a nearby lake," she said.

Azizah added that the tragedy was most unfortunate, especially during an auspicious occasion like Aidil Adha where her family was celebrating the Hari Raya Haji with relatives.

Rabu, 2 September 2015

Nenek nyaris maut disambar petir



Nenek nyaris maut disambar petir
2 September 2015


MARAN - Seorang nenek nyaris maut terkena petir ketika berada dalam tandas di luar rumah sebelum diselamatkan anaknya, kira-kira jam 6.40 petang, kelmarin.

Mangsa, Zainon Daing, 70, berkata, petir itu mulanya menyambar pokok bidara di belakang tandas dan terus ke tanah.

Katanya, malah turut terkena dinding belakang tandas dan menyebabkan beberapa papan patah.

“Ketika itu hujan renyai. Angin sangat kuat dan disusuli petir pertama. Petir kedua menyambar pokok bidara, kemudian ke tandas dan meluru ke belakang kepala saya.

“Keadaan petir sangat kuat sehingga saya tertolak ke depan menyebabkan selak pintu tandas patah dan tersungkur di tangga,” katanya.

Zainon berkata, kesannya dia kesakitan di seluruh badan akibat arus petir, namun cuba merangkak di tanah untuk memasuki rumah.

Pada masa sama anaknya, Khamijan Musa, 36, yang berada di ruang tamu rumah terkejut apabila suis utama elektrik meletup dan terbakar.

Khamijan berkata, dia sempat berpaling ke arah tandas dan mendapati terdapat beberapa lingkaran petir dan menyebabkan atap zink bocor.

Menurutnya, dia segera mencari ibunya itu kerana bimbang sebelum menemui warga emas itu terbaring lemah di tanah di depan tandas.

“Saya mengangkat ibu masuk ke dalam rumah dan sehingga sekarang dia masih terasa sakit di dalam telinga seperti berdengung,” katanya.