FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Rabu, 2 September 2015

Nenek nyaris maut disambar petir



Nenek nyaris maut disambar petir
2 September 2015


MARAN - Seorang nenek nyaris maut terkena petir ketika berada dalam tandas di luar rumah sebelum diselamatkan anaknya, kira-kira jam 6.40 petang, kelmarin.

Mangsa, Zainon Daing, 70, berkata, petir itu mulanya menyambar pokok bidara di belakang tandas dan terus ke tanah.

Katanya, malah turut terkena dinding belakang tandas dan menyebabkan beberapa papan patah.

“Ketika itu hujan renyai. Angin sangat kuat dan disusuli petir pertama. Petir kedua menyambar pokok bidara, kemudian ke tandas dan meluru ke belakang kepala saya.

“Keadaan petir sangat kuat sehingga saya tertolak ke depan menyebabkan selak pintu tandas patah dan tersungkur di tangga,” katanya.

Zainon berkata, kesannya dia kesakitan di seluruh badan akibat arus petir, namun cuba merangkak di tanah untuk memasuki rumah.

Pada masa sama anaknya, Khamijan Musa, 36, yang berada di ruang tamu rumah terkejut apabila suis utama elektrik meletup dan terbakar.

Khamijan berkata, dia sempat berpaling ke arah tandas dan mendapati terdapat beberapa lingkaran petir dan menyebabkan atap zink bocor.

Menurutnya, dia segera mencari ibunya itu kerana bimbang sebelum menemui warga emas itu terbaring lemah di tanah di depan tandas.

“Saya mengangkat ibu masuk ke dalam rumah dan sehingga sekarang dia masih terasa sakit di dalam telinga seperti berdengung,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan