Peniaga maut disambar petir
GUA MUSANG 10 Nov. 2016 - Seorang peniaga menemui ajal
selepas dipercayai disambar petir ketika mengupas kulit buah kelubi di sebuah
bangsal hadapan rumahnya di Kampung Tanah Puteh, di sini, petang semalam.
Mangsa, Mohd. Shamsudin Muda, 52, yang bersendirian ketika
kejadian cedera parah di bahagian perut, dada serta paha itu ditemukan dalam
keadaan terbaring oleh anak perempuannya kira-kira pukul 7 petang.
Malah kejadian itu turut mengakibatkan seekor beruk jantan
peliharaan peniaga terbabit yang diikat di bawah pokok tepi bangsal berkenaan
mati akibat disambar petir.
Difahamkan, sebelum kejadian, salah seorang anak lelaki
mangsa, Mohd. Naim Syakir, 16, turut menemaninya di dalam bangsal namun disuruh
masuk ke dalam rumah kerana hujan lebat.
Isteri mangsa, Norazila Mohamed Nor, 38, berkata, anak
perempuannya, Nor Syazwani, 10, menemukan suaminya dalam keadaan terbaring dan
menyangka mangsa sedang tidur.
“Anak saya beritahu, dia puas kejut, tetapi abah tidak
bangun-bangun lalu menghubungi abangnya, Mohd. Najmi Syahir, 18, yang ketika
itu bekerja di bandar Gua Musang.
“Mohd. Najmi pulang dan menyedari abahnya sudah tiada dan
terus bergegas ke warung makan tempat saya bekerja pula. Dia peluk dan beritahu
saya, abah sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Norazila, dia dan lapan anaknya reda dengan kejadian
itu namun sedih kerana bukan sahaja kehilangan ketua keluarga malah hilang
tempat bergantung.
“Kami orang susah dan sentiasa bekerja keras untuk menyara
lima anak yang masih bersekolah,” ujarnya yang turut mempunyai sepasang anak
kembar perempuan berumur dua tahun serta seorang anak orang kurang upaya
(OKU).
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Rajab Ahad
Ismail berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat
sebelum dituntut ahli keluarga.
Jenazah Mohd. Shamsudin selamat dikebumikan di Tanah
Perkuburan Kampung Tanah Puteh, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan