FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Khamis, 24 November 2016

Lightning Strike Killed SMK Peter Mojuntin Gardener; Not Exploding Powerbank



'Jaga anak kita sepenuh kasih'
24 November 2016

Kota Kinabalu: Tukang kebun yang meninggal dunia dipanah petir, Fazlie Lai Fauzie, 36, sempat bermain dengan anak bongsunya yang berusia dua minggu pada pagi sebelum kejadian.

Fazlie dipanah petir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Majuntin, Penampang, jam 3.30 petang kelmarin.

Malah, Fazlie sempat menitipkan pesanan terakhir buat isterinya, Martina Sayah, 35, supaya menjaga anak mereka, Jeffery dengan penuh kasih sayang.

Menurut Martina, ketika bermain dengan Jeffery, arwah memaklumkan akan berusaha menjaganya supaya dia menjadi insan yang berjaya.

“Besar harapan arwah supaya Jeffery dapat mengubah nasib keluarga. Arwah kemudian terus ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth (HQE), semalam.

Katanya, arwah turut memintanya memasak nasi goreng sebelum bermain dengan Jeffery.

“Tahun depan, arwah merancang untuk ke Indonesia dan membawa tiga anak kami berusia 12, 11, dan tujuh tahun yang dijaga ibu saya kembali ke Malaysia,” katanya.

Menceritakan kejadian, Martina berkata, dia dimaklumkan berkaitan tragedi terbabit oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang menghubunginya, jam 9.30 malam.

“Kebiasaannya, arwah akan pulang ke rumah jam 5 petang namun sehingga jam 6 petang, dia masih belum pulang. Saya bimbang kerana arwah tidak pernah lewat.

“Anggota polis berkenaan meminta saya bertenang sebelum memaklumkan suami meninggal dunia. Saya pilu kerana bergantung harap kepada arwah yang rajin bekerja untuk menanggung kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Rosley Hobden berkata, rakan sekerja Fazlie, Maidah Banir, 46, yang parah dalam kejadian itu masih dirawat di HQE.



Lightning Strike Killed SMK Peter Mojuntin Gardener; Not Exploding Powerbank
November 23, 2016

PENAMPANG – Police have dismissed a theory being spread on social media that a man killed by a lightning strike was because the victim had been charging his handphone with a power bank at the time of the incident.

Penampang police chief, Deputy Superintendent Rosley Hobden in confirming the incident said Fazlie Lai Fauzie had been killed by a lightning strike.

Fazlie, 36, a school gardener was killed and his colleague seriously hurt after they were struck by lightning at the SMK Datuk Peter Mojuntin field in Penampang near here on Tuesday.

Fazlie Lai lying prone on the field after he was struck by lightning. He was dead by the time medics arrived.

He was believed to have been killed on the spot during the 3.30pm incident while fellow gardener Maidah Banir, 46, remained unconscious after being rushed to the Queen Elizabeth hospital.

A school security guard Wilfred Kinin, 29, said he had heard screams from the field amid a thunderstorm.

“I rushed to the area and saw Fazlie and Maidah had collapsed on the field,” he said.

He said teachers who had heard the screams and saw what had happened immediately alerted the police and called the ambulance.

Isnin, 14 November 2016

Gempar bumbung rumah 'meletup'




Gempar bumbung rumah 'meletup'
14 November 2016

Petaling Jaya: Penghuni sebuah rumah perlindungan anak yatim gempar apabila bumbung kediaman itu ‘meletup’ sebelum disambar api dipercayai akibat terkena petir.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, bahagian bumbung kediaman di Jalan 20/2A, Taman Paramount, di sini, terbakar 70 peratus.

Kebakaran mengejut itu turut mengakibatkan perkakas elektrik di dalam rumah berkenaan musnah.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Jaswant Singh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.24 petang sebelum sebuah jentera bersama lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati bumbung rumah anak yatim berkenaan terbakar lebih 50 peratus.

“Kami mengambil masa 15 minit untuk memadam kebakaran dipercayai berpunca akibat panahan petir. Ada kemungkinan kotak fius di rumah anak yatim itu disambar petir ketika hujan lebat petang tadi (semalam),” katanya.

Jaswant berkata, petir yang menyambar kotak fius itu menyebabkan berlaku percikan api dan kebakaran.

“Percikan api itu merebak ke bahagian siling rumah anak yatim itu. Seramai 13 kanak-kanak yang menetap di rumah anak yatim itu berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kanak-kanak terbabit ditempatkan di sebuah rumah berdekatan dengan lokasi kejadian sebagai lokasi perlindungan sementara,” katanya.

Sementara itu, pemilik rumah anak yatim berkenaan ketika ditemui di lokasi kejadian enggan mengulas berhubung insiden itu.


Jumaat, 11 November 2016

Pekerja bagasi disambar petir



Pekerja bagasi disambar petir
10 November 2016

Subang: Seorang pekerja pengangkat bagasi syarikat penerbangan Malindo Air cedera apabila troli bagasi dibawanya disambar petir di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Difahamkan kejadian berlaku ketika hujan lebat berserta ribut di kawasan lapangan terbang itu kira-kira jam 3 petang. Mangsa sedang mengendalikan bagasi apabila troli berhampirannya disambar petir menyebabkan dia terkena renjatan.

Pekerja itu dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malindo Air, Chandran Rama Muthy menerusi kenyataan yang mengesahkan kejadian itu berkata, pekerja berkenaan masih dirawat dan keadaannya stabil.

Peniaga maut disambar petir



Peniaga maut disambar petir

GUA MUSANG 10 Nov. 2016 - Seorang peniaga menemui ajal selepas dipercayai disambar petir ketika mengupas kulit buah kelubi di sebuah bangsal hadapan rumahnya di Kampung Tanah Puteh, di sini, petang semalam.

Mangsa, Mohd. Shamsudin Muda, 52, yang bersendirian ketika kejadian cede­ra parah di bahagian perut, dada serta paha itu ditemukan dalam keadaan terbaring oleh anak perempuannya kira-kira pukul 7 petang.

Malah kejadian itu turut mengakibatkan seekor beruk jantan peliharaan peniaga terbabit yang diikat di bawah pokok tepi bangsal berkenaan mati akibat disambar petir.

Difahamkan, sebelum kejadian, salah seorang anak lelaki mangsa, Mohd. Naim Syakir, 16, turut menemaninya di dalam bangsal namun disuruh masuk ke dalam rumah kerana hujan lebat.

Isteri mangsa, Norazila Mohamed Nor, 38, berkata, anak perempuannya, Nor Syazwani, 10, menemukan suami­nya dalam keadaan terbaring dan me­nyangka mangsa sedang tidur.

“Anak saya beritahu, dia puas kejut, tetapi abah tidak bangun-bangun lalu menghubungi abangnya, Mohd. Najmi Syahir, 18, yang ketika itu bekerja di bandar Gua Musang.

“Mohd. Najmi pulang dan menyedari abahnya sudah tiada dan terus bergegas ke warung makan tempat saya bekerja pula. Dia peluk dan beritahu saya, abah sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Norazila, dia dan lapan anaknya reda dengan kejadian itu namun sedih kerana bukan sahaja kehilang­an ketua keluarga malah hilang tempat bergantung.

“Kami orang susah dan sentiasa beker­ja keras untuk menyara lima anak yang masih bersekolah,” ujarnya yang turut mempunyai sepasang anak kembar pe­rempuan berumur dua tahun serta seorang anak orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Jenazah Mohd. Shamsudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tanah Puteh, hari ini.


Khamis, 10 November 2016

Dipanah petir




Dipanah petir
10 November 2016

Gua Musang: Seorang lelaki maut selepas dipanah petir ketika mengupas kulit buah kelubi di bangsal depan rumahnya di Kampung Tanah Puteh, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada 7 malam itu, Mohd Syamsudin Muda, 52, seorang diri di bangsal terbabit dan parah di bahagian perut dan paha.

 Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata,  isteri dan lapan anaknya berada di dalam rumah terletak 20 meter dari bangsal itu.

"Mangsa ditemui anak perempuannya berusia 10 tahun di bangsal itu yang menyangka mangsa sedang tidur selepas melihatnya terbaring bersama gumpalan selimut.

"Dia kemudian memanggil ibunya untuk membantu mengejutkan mangsa yang tidak sedar diri sebelum mereka meminta bantuan jiran selepas mangsa langsung tidak bergerak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Gua Musang, di sini untuk dibedah siasat dan dijangka dikebumikan pagi ini.

Turut mati dalam kejadian itu, beruk milik mangsa yang ditambat di tepi bangsal.