KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada tiga anak berdepan
detik mencemaskan apabila nyaris rentung setelah terkena panahan petir dalam
satu kejadian di Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, di sini, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga
seorang warga Kemboja, Timmy Chea Choo, 35, sedang menoreh getah bersama
isterinya, Chouk Ann, 32, di kawasan kebun yang berbukit.
Menceritakan detik mencemaskan itu, isteri mangsa yang kurang fasih
berbahasa Melayu berkata, semasa kejadian, hujan renyai-renyai disusuli dengan
angin kencang serta ribut petir.
“Ketika itu kami sedang menoreh tetapi melihatkan keadaan
cuaca ketika itu, kami cepat-cepat mengemaskan barang untuk beredar.
Bagaimanapun, kejadian berlaku begitu pantas.
“Sedang kami sibuk berkemas, tiba-tiba satu cahaya seperti
kilat terkena pada suami dan panahan itu menyebabkan suami saya tercampak
sejauh kira-kira tujuh meter ke dalam semak,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Menurut Chouk Ann, akibat kejadian itu, suaminya tidak
sedarkan diri dan melihatkan keadaan itu, dia terus berlari mendapatkan bantuan
penduduk setempat yang berada berdekatan. Mangsa yang turut terbakar di
bahagian kaki dan belakang badan serta
melecur di muka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk
mendapatkan rawatan susulan.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu keluar menoreh getah
seawal jam 10 pagi lagi dan tinggal di negara ini sejak dua tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan