Pagar batu rumah jiran mereka pecah akibat panahan petir
sebelum menghasilkan ‘bola api’ yang dikatakan memasuki rumah Said.
MARANG – "Semasa isteri saya sedang memasak di dapur,
hujan agak lebat di luar, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum
isteri menjerit ada sebiji ‘bola api’ sebesar bola tenis masuk ke dalam rumah
dan meluncur laju menuju ke arah bilik mandi.
Demikian cerita Said Abdul Rahman, 68, yang terselamat
selepas rumah didiami bersama isteri, Fatimah Mamat, 58, dan tiga anak mereka
disambar petir ketika ditemui Sinar Harian di rumah mereka di Tanjung Belor,
Pengkalan Berangan di sini, semalam.
Menurutnya, susulan kejadian yang berlaku kira-kira jam 4
petang itu, dia dan isteri termasuk tiga anak yang berada di dalam rumah, panik
apabila asap hitam memenuhi ruang tamu dan dapur rumah kesan selepas ‘bola api’
itu memasuki rumah mereka.
“Saya yang berada di dalam bilik ketika itu bergegas keluar
dan melihat suis elektrikdalam rumah turut terbakar manakala kotaknya hancur,
di samping bahagian atas mesin basuh pecah dan simen dalam bilik mandi pula
berlubang kerana ‘bola api’ itu.
“Ini merupakan kejadian pertama rumah kami disambar petir
sejak lebih 10 tahun tinggal di sini. Mujur saya, isteri dan anak-anak yang
berada di dalam rumah serta rakan anak-anak yang berteduh kerana hari hujan di
luar rumah ini terselamat,” katanya.
Said berkata, kejadian itu turut menyebabkan pagar batu di
rumah jirannya pecah dan anak-anaknya berpendapat penahan petir itu menuju ke
arah pagar rumah jiran mereka itu terlebih dahulu sebelum ‘bola api’ itu
terhasil dan masuk ke rumah mereka.
Menurutnya, dia sekeluarga masih mengalami kesan trauma dan
bimbang akan keselamatan mereka jika kejadian hujan lebat dan ribut petir
melanda semula di kawasan berkenaan sekali gus insiden sama berlaku lagi.
“Namun, kami bersyukur kerana perkara itu juga sudah
mendapat perhatian pihak Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri
(Dun) Pengkalan Berangan dan kerosakan berlaku di rumah ini termasuk fius
terbakar dibaiki hari ini (semalam),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan