FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Isnin, 9 April 2012

Pelajar rebah terkena renjatan panahan petir



Pelajar rebah terkena renjatan panahan petir
9 April 2012

BUKIT KATIL - Seramai 15 pelajar dari 17 sekolah sekitar negeri ini terkena renja­tan­ akibat panahan petir di Kem Pengakap Pengkalan Badak, di sini, petang semalam.

Pelajar berkenaan yang mengikuti perkemahan­ Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) rebah selepas petir memanah sebuah pokok dalam kejadian kira-kira 5.30 petang.

Kesemua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan St Francis, Banda Hilir, di sini adalah antara 584 pelajar yang menyertai program perkemahan bermula semalam hingga Sabtu ini.

Salah seorang mangsa, Mohd Faisal Othman, 15, berkata, sebelum kejadian, kesemua pelajar baru selesai membuat raptai sempena majlis perasmian program berkenaan di kem tersebut yang dijadualkan hari ini.

“Raptai dihentikan sekejap kerana hujan renyai dan kami semua masuk ke dalam khemah masing-masing. Saya dan lima rakan yang tinggal satu khemah kemudian mahu keluar ke khemah lebih besar kerana takut mendengar bunyi guruh dan petir.

“Tetapi, sebaik saja saya keluar dari khemah bersama tiga rakan lain, saya nampak pokok berhampiran khemah dipanah petir. Saya rasa seperti terkena elektrik terus jatuh terlentang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Melaka, dekat sini, semalam.

Mohd Faisal berkata, kejadian sama turut menimpa dua rakan sekhemahnya yang berada di luar, selain tiga lagi berada dalam khemah sama.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang melawat mangsa di unit kecemasan dan trauma hospital berkenaan, semalam berkata, seramai 14 pelajar dijangka dibenarkan pulang sebaik saja pemeriksaan selesai dilakukan pihak hospital.

“Setakat ini hanya seorang sahaja yang mengadu sakit dada dan sekiranya pemeriksaan selesai, kesemua 14 yang lain dibenarkan pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau bagaimanapun meminta ibu bapa pelajar terbabit tidak risau kerana kejadian tersebut terkawal.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-rebah-terkena-renjatan-panahan-petir-1.38596

Tiada ulasan:

Catat Ulasan