Gas kilang punca amukan petir
15 April 2012
PANAHAN petir menyebabkan seorang maut setiap bulan di Malaysia.
BARU-baru ini, seramai 15 pelajar sekolah menengah yang sedang mengikuti program perkhemahan di Kem Pengakap Pengkalan Badak, Bukit Katil, Melaka cedera dipanah petir.
Kejadian pukul 5.30 petang Isnin lalu itu berlaku ketika hujan renyai-renyai. Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.
Menurut seorang mangsa, Mohd. Faisal Othman, 15, sebelum peristiwa mengejutkan itu terjadi, dia duduk di sebuah khemah kecil yang memuatkan enam peserta.
“Tiba-tiba guruh dan petir berdentum menyebabkan saya keluar dari khemah itu untuk pergi ke khemah lain.
“Semasa saya bangun, saya nampak kilat telah menyambar sebatang pokok sebelum berasa seolah-olah ada arus elektrik mengalir dalam badan saya,” katanya.
Fenomena petir yang disertai kilat adalah lumrah alam.
Namun, panahan petir boleh menjadi satu ancaman kerana ia mampu menghasilkan arus elektrik sehingga 300,000 ampere dengan tahap kepanasan sehingga 40,000 darjah Celsius.
Ampere ialah unit sukatan untuk arus elektrik.
Setakat ini, sebanyak 25,000 individu di seluruh dunia telah menjadi mangsa panahan petir. Ia turut menyebabkan kerugian harta benda mencecah RM3.6 bilion setahun.
Menurut Pengarah Pusat Kecemerlangan Perlindungan Kilat (CELP), Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd. Zainal Abidin Ab. Kadir, berdasarkan kajiannya, terdapat 50 kes kemalangan jiwa akibat panahan petir di negara ini sejak lima tahun lepas.
Secara matematik, satu kes kemalangan jiwa akibat panahan petir terjadi setiap bulan.
“Data ini berdasarkan kajian saya semata-mata. Mungkin jumlah sebenar lebih tinggi memandangkan negara kita tidak mengumpul rekod kemalangan jiwa yang disebabkan panahan petir.
“Jangan pandang ringan amukan petir kerana soal nyawa perlu menjadi keutamaan,” katanya kepada Jurnal.
Ujarnya, panahan petir tidak mengenal tempat. Ia boleh berlaku di padang bola, tapak pembinaan serta di dalam atau di luar bangunan.
Zainal juga berharap terdapat papan tanda amaran mengenai bahaya petir diletakkan di tempat awam seperti taman rekreasi, tasik, gelanggang futsal dan padang bola sepak sebagai langkah keselamatan.
“Ini sebagai langkah pencegahan sebelum berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.
Di Amerika Syarikat (AS), dilaporkan sebanyak 3,000 kematian setahun akibat serangan jantung yang berkaitan dengan panahan petir.
Kilat
Kebanyakan rakyat AS terkena petir semasa sedang melakukan aktiviti sukan dan riadah seperti memancing, berenang atau bermain golf dengan peratusan melebihi 50 peratus.
Zainal memberitahu, panahan petir bukan sahaja melibatkan kemalangan jiwa bahkan gangguan bekalan elektrik dan kerosakan peralatan elektronik.
“Jika gangguan elektrik berlaku dalam beberapa jam sahaja, sebuah kilang elektronik akan mengalami kerugian berjuta-juta ringgit selain menjejaskan sektor ekonomi negara,” katanya.
Tambah beliau, kebanyakan kes panahan petir disertai kilat berlaku untuk dua tempoh dalam setahun iaitu bulan April hingga Jun serta September hingga November.
Terdapat fakta yang mengejutkan iaitu kawasan Subang, Selangor dikenal pasti paling kerap disambar petir iaitu sebanyak 362 hari dalam setahun pada tahun 1987 hinggakan Subang digelar sebagai ‘Mahkota Kilat’ (Crown of Lighting).
Kata Zainal, punca ‘Mahkota Kilat’ juga disebabkan oleh pelepasan gas daripada sektor perindustrian. Fenomena perubahan cuaca yang tidak menentu turut mendorong kepada jumlah panahan petir yang tinggi di negara ini.
Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Ibrahim Komoo berpendapat, keadaan cuaca sejak kebelakangan ini semakin merisaukan.
“Saya harap orang ramai tidak memandang ringan walaupun kebarangkalian untuk dipanah petir adalah rendah,” terang beliau.
Di sebalik ancaman panahan petir terhadap manusia, haiwan dan sektor perindustrian, terdapat penyelidikan pelik yang dilakukan oleh sekumpulan pengkaji Kanada pada Februari 2008.
Ketua penyelidik, Profesor Andres Lazano dari Hospital Barat Toronto, Kanada mendakwa, rangsangan elektrik di dalam otak, sama ada akibat disambar petir atau renjatan elektrik mampu meningkatkan memori seseorang.
Kata Lazano, penemuan itu berlaku secara kebetulan semasa pasukannya sedang merawat seorang lelaki tua berpenyakit diabetes peringkat kedua dengan stimulasi elektrik pada bahagian otak.
Hasilnya, lelaki itu mampu mengingati memori yang berlaku 20 tahun lepas dengan tepat serta merasakan dirinya lebih muda.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan