Kasut berasap!
KUALA KANGSAR: “Sebaik dentuman kuat, kedua-dua kaki saya kebas, manakala kasut pula berasap,” kata Muhammad Izaha Jamaluddin, 10, seorang daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan Mazuin (SKM), di sini, yang cedera dipanah petir dalam kejadian petang kelmarin.
Muhammad Izaha yang turut melecur di kaki kanannya berkata, sejurus dentuman kuat itu, dia terus rebah.
Menurutnya, dia meraung kesakitan sebelum seorang guru meluru ke arahnya dan menanggalkan kasut dipakainya.
“Dalam keadaan terbaring itu, saya sempat melihat arwah kaku dan tersandar pada sebatang pokok, manakala beberapa murid lain meraung kesakitan.
“Sebelum dentuman petir itu berlaku, saya melihat arwah berjalan menuju ke sebatang pokok bagi mengemaskan peralatan memanah,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Fakri, di sini, semalam.
Dalam kejadian menyayat hati itu, rakan mangsa, Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, maut dipanah petir, manakala seorang guru dan tiga murid lain cedera ringan.
Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika lapan murid dan guru terbabit baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.
Insiden tidak dijangka itu turut mencederakan seorang guru, Azizul Rahman Ismail, 31, yang juga jurulatih memanah sekolah serta tiga murid dikenali sebagai Anuar Azlin, 12, Nor Arifah Fatimah, 12 dan Muhammad Izaha Jamaluddin, 10.
Keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk mendapatkan rawatan, namun tiga murid dibenarkan keluar malam kelmarin manakala, Azizul Rahman masih dirawat di hospital sama. Muhammad Izaha berkata, dia tidak menyangka kejadian itu meragut nyawa rakannya itu kerana sebelum ini, dia sangat rapat dengan arwah kerana Syafiq tidak lokek mengajarnya cara memanah dengan betul.
Ketika ditanya sama ada dia mahu meneruskan minatnya dalam sukan memanah, Muhammad Izaha berkata, dia memerlukan masa untuk memulihkan emosinya.
Menurutnya, dia masih trauma dengan kejadian itu yang menyebabkan kaki kanannya melecur selain kedua-dua telinganya masih berdengung.
Sementara itu, Azizul Rahman ketika ditemui di HKK semalam berkata, dia yang berada paling hampir dengan arwah turut rebah sebaik petir itu mengenai tanah.
“Sebaik tersedar daripada pengsan, saya terkejut apabila mendapati arwah terbaring di atas padang berdekatan sebatang pokok manakala beberapa murid lain menjerit kesakitan.
“Sejurus kejadian, seorang guru yang berada berdekatan segera memberikan bantuan pemulihan pernafasan (CPR) selain turut memeriksa nadi arwah. Bagaimanapun, Syafiq disahkan sudah meninggal dunia dan dibawa ke hospital,” katanya.
Dia yang juga guru Matematik berkata, ketika kejadian cuaca agak mendung menyebabkan dia bersama murid lain mengemaskan peralatan memanah dan bersiap sedia untuk pulang.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kasutberasap_/Article/index_html
Arwah tak sabar guna penutup mata baru
KUALA KANGSAR: “Arwah memang tidak sabar keluar menjalani latihan memanah di sekolah petang semalam (kelmarin) kerana mahu mencuba penutup mata khas yang baru dibelinya bagi sukan itu,” kata Suhila Anuar, 37, ibu kepada Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, murid Sekolah Kebangsaan Mazuin, di sini yang maut dipanah petir petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa bersama tujuh murid lain dan seorang guru, baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.
Suhila yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal, di sini, semalam berkata, beberapa hari sebelum kejadian, arwah memaklumkan kepadanya untuk membeli penutup mata berkenaan bagi memudahkannya menjalani latihan memanah di sekolah.
Dia berkata, arwah sanggup membantu ibu saudaranya berniaga di kedai dengan upah RM2 sehari bagi mengumpul wang membeli peralatan berharga RM10 itu. “Dia tidak mahu menyusahkan keluarga dan sukar meminta wang daripada kami jika tiada keperluan penting. “Arwah tidak pandai bermain sukan lain, jadi dia berhajat mewakili sekolah dalam acara memanah,” katanya.
Bapa arwah, Mohamad Tajul Ariffin Shahruddin, 40, berkata anaknya mempunyai minat yang mendalam dalam sukan memanah, malah dia sering memberi galakan kepada arwah.
“Setiap kali latihan, arwah bersiap lebih awal untuk menjalani latihan memanah di sekolah. Saya dimaklumkan guru sekolah arwah latihan semalam (kelmarin) untuk memilih peserta mewakili sekolah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, tiga murid dan guru sekolah yang cedera itu dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk menerima rawatan lanjut sebelum tiga daripada mereka dibenarkan keluar dari hospital kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Katanya, seorang lagi mangsa yang juga guru lelaki masih dirawat di hospital sama kerana masih lemah.
“Laporan bedah siasat hospital mendapati, arwah maut disebabkan kecederaan parah terkena panahan petir,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Arwahtaksabargunapenutupmatabaru/Article/index_html
Pelajar maut dipanah petir selepas latihan memanah
KUALA KANGSAR 1 Feb. - Seorang pelajar tergamam apabila melihat seorang rakannya maut akibat dipanah petir selepas selesai menjalani latihan memanah di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Muzwin, di sini petang semalam.
Muhammad Izhar Jamaluddin, 10, antara lapan murid yang sedang berehat di tepi padang berkenaan berkata, sampai bila-bila pun dia tidak dapat melupakan kejadian pukul 5.30 petang itu yang meragut nyawa Muhammad Syafiq Mohd. Tajul Ariffin, 11.
Menceritakan detik-detik cemas tersebut, Mohd. Izhar berkata, dalam keadaan hujan renyai-renyai, semua ahli pasukan memanah sedang bersiap untuk bersurai, manakala mangsa pula sedang menyusun peralatan memanah di bawah sebatang pokok, kira-kira tiga meter dari rakan-rakannya.
"Tiba-tiba saya perasan ada cahaya kuning sepantas kilat diiringi dentuman kuat yang menyebabkan kami semua terpelanting. Selepas itu, kami melihat Syafiq terbaring di bawah pokok.
"Saya sendiri takut melihat kaki saya pucat dan apabila guru lain mencurahkan air bagi menanggalkan kasut yang terkoyak bersama stokin melekat, ia mengeluarkan bunyi macam sedang dimasak," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Dalam kejadian tersebut, Muhammad Syafiq yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik meninggal dunia setelah cedera parah di seluruh badan akibat dipanah petir.
Muhammad Izhar melecur di kaki kanan, manakala dua lagi rakannya, Anuar Azlin, 12, dan Nor Arifah Fatimah, 12 serta seorang guru jurulatih pasukan tersebut, Azizul Rahman Ismail, 31, hanya mengalami kekejangan di kaki.
Azizul Rahman yang masih trauma dengan kejadian itu masih dirawat di Hospital Kuala Kangsar, di sini.
Menurut Muhammad Izhar, selepas kejadian itu, dia serik untuk menjalani latihan memanah lagi kerana trauma dengan apa yang berlaku.
"Kami sepatutnya menyertai satu kejohanan memanah pada bulan ini tetapi tidak tahu lah macam mana selepas kejadian ini," katanya yang diberikan cuti sakit selama tiga hari.
Sementara itu, Azizul Rahman yang juga seorang guru Matematik berkata, dia begitu sedih dan terkejut mendengar berita kematian tersebut kerana mangsa merupakan anak didiknya sejak setahun lalu.
Menurutnya, ketika kejadian, terdapat sekumpulan pasukan bola sepak sedang berehat tidak jauh daripada tempat kejadian selepas menjalani latihan di padang berkenaan.
"Dalam hati, saya rasa seolah-olah macam bersalah, walaupun perkara ini berlaku di luar jangkaan sama sekali," katanya sambil menegaskan semua aktiviti memanah tersebut dijalankan mengikut peraturan pihak sekolah.
Sementara itu, suasana suram menyelubungi keluarga mangsa yang berkumpul di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal di sini apabila jenazah Muhammad Syafiq dikebumikan pukul 11.30 pagi ini.
Bapa mangsa, Mohd. Tajul Arifin Shahruddin, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira pukul 6 petang apabila menerima panggilan daripada seorang guru ketika menanti kepulangan anaknya sewaktu hujan lebat semalam.
"Kadang kala, saya selalu juga melihat anak saya menjalani latihan di sekolah tetapi semalam, saya tidak berkesempatan. Biasanya, kalau hujan, dia akan pulang awal kerana cikgu suruh balik cepat," katanya.
Ibu mangsa, Suhila Anwar, 37, yang terlalu sebak kehilangan anaknya itu tidak mampu untuk mengeluarkan sebarang kata-kata.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Ghaffar Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Guru Besar SK Raja Perempuan Muzwin, Mohd Jamaai Ahmad pula berkata, laporan lengkap berhubung kejadian itu telah dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm
Kaki kebas, bau hangit kena petir
2012/02/02
KUALA KANGSAR: “Selepas bunyi dentuman kuat, saya terus tidak sedarkan diri. Apabila tersedar beberapa minit kemudian, kaki terasa kebas, kasut terbakar dan bau hangit.
“Saya terus meraung sebaik cikgu menanggalkan kasut kerana bau hangit itu berpunca daripada kaki kanan saya melecur,” kata Muhammad Izaha Jamaluddin, 10, seorang daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan Mazuin, di sini, yang cedera dalam kejadian dipanah petir, petang kelmarin. Dalam kejadian menyayat hati itu, rakan Muhammad Izaha, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin , 11, maut selepas badannya disambar petir, manakala dua rakan lain serta seorang guru cedera. Mereka yang cedera ialah Azizul Rahman Ismail, 31, guru dan juga jurulatih memanah sekolah serta dua murid lain dikenali sebagai Anuar Azlin, 12 dan Nor Arifah Fatimah, 12.
Menceritakan kejadian jam 5.30 petang itu, Muhammad Izaha berkata sebelum kejadian dia bersama lapan rakan lain, termasuk arwah dan seorang guru berehat berhampiran sebatang pokok selepas selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah.
“Ketika itu cuaca mendung dan arwah bangun untuk mengemaskan peralatan memanah di tengah padang. Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman kuat dan saya terus tidak sedarkan diri.
“Selepas tersedar saya sempat melihat arwah kaku tersandar pada sebatang pokok, manakala rakan lain meraung kesakitan. Beberapa guru kemudian cuba memberi bantuan pernafasan kepada arwah, namun beberapa minit kemudian saya mendapat tahu rakan saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Fakri, semalam.
Muhammad Izaha, murid Tahun Empat, berkata sebelum kejadian arwah sempat mengajarnya menarik tali memanah itu dan mereka bersemangat mengikuti latihan kerana berhajat untuk terpilih mewakili sekolah.
“Arwah tidak lokek ilmu. Kami sentiasa berlatih bersama-sama dan arwah sangat teruja untuk berlatih memanah, apatah lagi selepas dapat membeli penutup mata khas untuk mengikuti latihan itu,” katanya.
Muhammad Izaha kini mengakui sudah hilang minat untuk menjalani latihan memanah kerana trauma dengan kejadian itu.
“Saya sudah kehilangan rakan baik, apatah lagi kaki masih terasa kebas dan telinga berdengung kesan dentuman kuat itu,” katanya.
Sementara itu, suasana pilu dan sedih menyelubungi kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal, ketika jenazah Muhammad Syafiq yang juga anak ketiga daripada lima beradik dikebumikan jam 11.30 pagi semalam.
Ibu mangsa, Suhila Anuar, 37, berkata sebelum kejadian, arwah kelihatan sangat seronok dan bersemangat menjalani latihan memanah, apatah lagi dia baru saja membeli penutup mata bagi sukan itu.
“Dia (arwah) sanggup mengambil upah membantu ibu saudaranya berniaga di kedai dengan upah sebanyak RM2 sehari untuk mengumpul wang bagi membeli peralatan berharga RM10,” katanya.
“Dia tidak mahu menyusahkan keluarga dan sukar untuk meminta wang daripada kami jika tiada keperluan penting. Lagipun, arwah tidak pandai bermain sukan lain seperti bola, jadi dia berhajat untuk mewakili sekolah dalam acara memanah,” katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kakikebas_bauhangitkenapetir/Article
Khamis, 2 Februari 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan