Utusan Malaysia 22 Feb 2011
TELUK INTAN 21 Feb. - Seorang petani maut, manakala anak saudaranya cedera akibat dipanah petir ketika dalam perjalanan pulang menaiki bot ke jeti Kampung Sungai Jelawat dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, Yahya Mokdar, 59, dari Parit 4D, Sungai Manik, mati ketika mereka berada kira-kira 50 meter dari jeti tersebut.
Anak saudaranya, Mohd. Fadli Yunus, 22, yang cedera di badan dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI).
Menurut Mohd. Fadli, mereka bersama seorang lagi rakan, Sofian Saroji, 33, pergi memancing udang galah di muara Sungai Perak, pada pukul 7 pagi.
"Kami pulang di sebelah petang dan ketika dalam perjalanan, hujan lebat dan ketika itulah bot kami dipanah petir.
"Kejadian berlaku dengan pantas dan saya hanya mendengar bunyi petir dan serta-merta badan terasa panas.
"Saya pengsan dan hanya sedar apabila berada di hospital. Saya hanya mengetahui bapa saudara saya meninggal dunia setelah diberitahu oleh salah seorang saudara," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fadli, beliau berasa serik dengan kejadian itu dan takut untuk pergi memancing udang galah.
Dalam pada itu, Sofian yang memandu bot tersebut berkata, mereka bertiga berada sehari suntuk di Sungai Perak dan mengambil keputusan pulang setelah cuaca gelap dan hampir senja.
"Semasa dalam perjalanan pulang, tiba-tiba petir berbunyi kuat lalu menyambar Yahya. Yahya rebah di sisi saya dan tidak sedarkan diri begitu juga dengan Mohd. Fadli.
"Saya juga terasa bahang panas dan bot kami berpusing. Saya segera membawa bot ke jeti untuk bantuan dan membawa mangsa-mangsa ke hospital," katanya.
Sementara itu, isteri Yahya, Siti Rafingah Abd. Wahab, 49, berkata, suaminya bukanlah seorang kaki pancing malah kali pertama mengikut Mohd. Fadli memancing.
"Dia juga tidak sempat makan dan hanya sempat minum kopi sahaja. Saya reda dengan pemergian suami dan ia bagai mimpi buruk dalam hidup saya," katanya.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan itu dan mangsa meninggal dunia kerana dipanah petir.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm
Selasa, 22 Februari 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan