Temui ajal disambar petir
25 Mac 2018
PENYELIA kilang maut disambar petir ketika menunggu bot di tepi pantai berhampiran Dewan Masyarakat Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Balik Pulau, semalam.
Dalam kejadian pada 10 malam itu, mangsa Mohamad Amin Osman, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketika kejadian, arwah bersama dua lagi rakannya sedang menunggu bot nelayan untuk membawa mereka memancing di Pulau Kendi.
Difahamkan, ketika itu hujan lebat dan secara tiba-tiba petir menyambar arwah hingga membuatkan dia tercampak ke tepi laut.
Rakan yang berada berhampirannya turut terkena petir serta mengalami kebas di tangan dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
Anak arwah Muhamad Izdhar, 21, berkata bapanya keluar rumah bersama rakan selepas Maghrib dan mereka sempat bertemu petang, semalam.
“Tiada perubahan ketara yang ditunjukkan arwah, cuma sejak kebelakangan ini saya nampak dia agak pendiam.
“Sudah agak lama arwah bapa tidak keluar memancing, namun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya yang ditemui di perkarangan rumah mayat di Hospital Balik Pulau, malam tadi.
Difahamkan, arwah seorang yang peramah dan disenangi di tempat kerjanya meninggalkan seorang balu bersama tiga anak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan mengesahkan kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Isnin, 26 Mac 2018
Langgan:
Catatan (Atom)