FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Ahad, 18 Disember 2011



Lokasi sering disambar petir
Sinar Harian 17 Dis 2011

REMBAU – Penduduk dari Kampung Ara, di sini, memohon pihak berkaitan supaya dapat mengkaji kawasan yang sering disambar petir berikutan ia berdekatan kediaman sekali gus bagi mengelak ancaman terhadap keselamatan dan nyawa penduduk di situ.

Kebimbangan itu susulan kejadian buruh maut dipanah petir ketika kerja-kerja membina jambatan berhampiran landasan kereta api berkembar di kampung berkenaan, kira-kira jam 4.00 petang, 4 Disember lalu.

Menurut Azman Ahmad, 41, kediaman keluarganya terletak betul-betul berhampiran jambatan berkenaan.

Katanya, ketika kejadian buruh maut dipanah petir itu berlaku, dia berada di rumah bapanya.

“Kawasan ini boleh dikatakan ‘kawasan petir’ kerana ia sering disambar petir kuat sehingga bapa saya pernah menceritakan tembok konkrit pintu pagar rumah dan cermin peti surat pecah dipanah petir tahun lalu.




“Jika sebelum ini, masih belum terdapat kes membabitkan kehilangan nyawa penduduk, namun kejadian ini (buruh maut dipanah petir) benar-benar membimbangkan saya sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, dia berharap supaya pihak berkaitan dapat mengkaji kawasan berkenaan bagi mengelakkan perkara buruk berulang kembali.

Malahan, dia turut berharap aliran elektrik berarus tinggi bagi landasan kereta api berkembar itu dikaji supaya tidak menambah risiko kejadian panahan petir di perkampungan berkenaan.

“Saya sangat berharap kajian dapat dilaksanakan di kawasan ini bagi mengelak perkara buruk berulang selain bagi menyelamatkan nyawa penduduk,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lokasi-sering-disambar-petir-1.13058

Isnin, 5 Disember 2011

Buruh maut dipanah petir


Buruh maut dipanah petir
5 Dis 2011

REMBAU – “Saya tak pernah dengar bunyi petir sekuat itu sebelum nampak beberapa buruh bergegas ke atas jejantas berkenaan,” kata Arfan Azman, 11, ketika melihat detik cemas seorang buruh warga asing dipanah petir, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, seorang buruh warga asing bagi kerja-kerja membina jejantas berhampi-ran landasan keretapi berkembar di Kampung Ara, dekat sini, maut dipercayai akibat dipanah petir.

Mangsa, Munir Husin, 30-an, warga Bangladesh dipercayai sedang berada seorang diri di bahagian atas, sementara beberapa lagi buruh lain berada di bahagian bawah jejantas.

Menurut Arfan, ketika kejadian, hujan belum reda dan dia sedang berada di luar rumah sebelum tiba-tiba petir menyambar dengan begitu kuat dan terdengar dentuman dari jejantas di hadapannya.

“Bunyi sangat menakutkan. Sejurus selepas itu, saya nampak pekerja di lokasi berkenaan bergegas naik ke atas jejantas itu dan mereka beritahu ada yang mati dipanah petir.

“Saya cepat-cepat memanggil ayah saya yang ketika itu berada di belakang rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, kenalan mangsa dikenali sebagai Yasirdin berkata, ketika kejadian, dia berada di bahagian bawah jejantas dan mengesyaki sesuatu berlaku pada mangsa selepas topi yang dipakai mangsa jatuh ke bawah.

“Kami cepat-cepat naik ke sebelah atas jejantas dan mendapati mangsa sudahpun meninggal dunia,” katanya yang baru sahaja dua bulan ditempatkan untuk bekerja di lokasi berkenaan bersama mangsa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, polis sudah menerima maklumat mengenai kes berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa mati akibat dipanah petir. Kita mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa di hantar ke HT untuk proses bedah siasat.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/buruh-maut-dipanah-petir-1.9987


Buruh bina jambatan maut dipanah petir

REMBAU: Seorang pekerja kontrak maut akibat dipanah petir ketika melakukan kerja pembinaan jambatan baru di Kampung Kayu Ara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Munir Husin berusia 30-an dari Bangladesh maut di tempat kejadian akibat parah di badan.


Difahamkan, Munir yang ketika itu berada di atas jambatan landasan keretapi berkembar Seremban-Gemas itu melakukan kerja menanam besi.

Rakan mangsa, Yasin Din, 50-an, berkata, ketika kejadian cuaca baik dan mereka melakukan kerja masing-masing di jambatan tempat pembinaan landasan kereta api itu.

Menurutnya, mangsa berada di atas jambatan, manakala dia bersama pekerja lain melakukan kerja berhampiran jambatan, namun tiba-tiba dentuman guruh yang kuat berserta petir mengejutkan dia dan rakannya.

“Kami menyedari sesuatu berlaku terhadap Munir apabila melihat topi keselamatannya jatuh ke bawah.

“Saya bergegas naik dan mayatnya mati terlentang atas jambatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku berikutan cuaca pada hari itu tidak hujan. “Sudah menjadi kebiasaan, setiap kali hujan kami semua berhenti bekerja, tetapi kali ini tiada hujan, namun tiba-tiba berlaku guruh dan petir. Seorang penduduk kampung, Arfan Aznan, 11, berkata, ketika kejadian dia bermain di laman rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat guruh disertai petir.

“Kemudian saya mendengar bunyi riuh dan jeritan pekerja buruh mengatakan ada orang mati dipanah petir.

“Saya berlari masuk ke dalam rumah kerana panik dan memberitahu ayah mengenai kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, mangsa dipercayai mati akibat dipanah petir dan kes ini diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Buruhbinajambatanmautdipanahpetir/Article/index_html