FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Isnin, 26 Mei 2014

Rumah terbakar dipanah petir




Rumah terbakar dipanah petir
26 Mei 2014

KUALA PILAH – “Habis semua barang peninggalan arwah isteri," luah Maarif Ahmad, 72, yang sedih selepas mendapati barang seperti pinggan mangkuk antik berbunga kangkung hangus dalam kebakaran di Kampung Masjid, dekat sini malam kelmarin.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada panahan petir berikutan ia berlaku ketika hujan lebat.

Menurut Maarif, waktu kejadian, dia tiada di rumah kerana pergi ke Seremban bersama menantunya menziarah cucu baru dilahirkan.

Bagaimanapun, katanya, dia mendapat panggilan kira-kira 7.30 malam, ketika itu sudah berada di rumah ibunya Kampung Tanjung Beringin dekat sini.

“Kami semua sudah pulang dari Seremban, tapi singgah sekejap di rumah emak pakcik di Kampung Tanjung Beringin.

“Dalam sedap berbual, saya terkejut dengan panggilan kecemasan dari jiran menyatakan rumah saya terbakar.

"Saya terus balik bersama menantu (Syarifful Rizal Zainin, 37) dan setibanya di rumah, keadaan api sedang marak disebabkan bahagian diperbuat daripada kayu, manakala bahagian ruang tamu dinding batu,”  katanya yang reda dengan kejadian tersebut.

Maarif berkata, rumahnya yang berusia 20 tahun hangus seratus peratus tanpa berjaya menyelamatkan perkakas rumah termasuk dokumen penting.

“Saya sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana semua barang-barang termasuk pakaian hangus dijilat api.

“Kerugian dianggarkan bernilai RM60,000. Walaupun rumah sudah tiada, tetapi saya sekeluarga bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya akan menumpang sementara di rumah ibunya di Kampung Tanjung Beringin.

Sementara itu, Syarifful berkata, kira-kira 6.30 petang kelmarin, dia pulang ke rumah untuk memberi makanan kepada ternakan dan keluar semula.

“Waktu itu, keadaan rumah masih elok dan tidak menyangka perkara buruk akan menimpa kami. Jiran ada maklumkan, waktu kejadian hujan lebat sekali dengan petir.

“Bila dentuman petir, tidak lama kemudian, jiran mendapati rumah saya telah terbakar dan dipercayai berpunca dari kawasan dapur,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Jaafar Yusof berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota bomba dan penyelamat berjaya mengawal kebakaran api dari merebak ke rumah mesra rakyat itu, yang jarak hanya 10 meter sahaja.

“Ketika bomba tiba di tempat kejadian, api sudah marak dengan 80 peratus. Kita mengalami kesulitan melakukan kerja-kerja pemadaman api berikutan kampung itu tiada sumber air dan pili bomba.

“Bagaimanapun api berjaya dipadam dalam tempoh 30 minit,” katanya sambil memberitahu punca kejadian masih dalam siasatan.

Khamis, 22 Mei 2014

Pesawat MAS dipanah petir




Alor Setar: Lebih 50 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH1348 yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Langkawi, di sini, berdepan detik cemas apabila salah satu enjin pesawat berkenaan terkena panahan petir, semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, penumpang dan anak kapal dikejutkan dengan satu dentuman kuat sebelum disusuli pancaran cahaya seperti api di bahagian enjin sebelah kiri pesawat terbabit.

Seorang penumpang yang enggan dikenali berkata, pesawat itu berlepas dari KLIA pada jam 11.05 pagi sebelum berlaku gegaran kuat selepas 15 hingga 20 minit penerbangan dipercayai akibat cuaca buruk.

“Ketika itu, semua penumpang panik sehingga ada antara mereka menjerit dan menangis,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, sebaik pesawat mendarat, dia terkejut mendapati kesan berlubang sebesar bola golf pada satu enjin berkenaan.

Sementara itu, pihak MAS dalam kenyataan medianya mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, pesawat berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan tiada kemalangan mahupun kerosakan dilaporkan berlaku.

“Pesawat dihantar untuk pemeriksaan sebelum dibenarkan meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21


Selasa, 13 Mei 2014

Pemandu jentolak maut dipanah petir

KEMAMAN 12 Mei 2014 - Seorang pemandu jentolak warga emas maut disambar petir di sungai berhampiran rumah kongsi syarikat pembalakan di hutan Cenderong Air Putih dekat sini semalam.

Kejadian berlaku pada pukul 6.15 petang ketika mangsa, Ng Choon Wah, 70, bersama tiga rakannya sedang mandi selepas kembali dari kerja.

Seorang saksi, Mustafa Mahmud, 53, memberitahu, beliau berada dalam lingkungan 30 meter dari tempat kejadian dan mendengar dentuman kuat, diikuti percikan api menyambar mangsa.

“Saya bergegas mendekati mangsa dan mendapati dia sudah meninggal dunia dengan kesan lebam di badan dan muka akibat kejadian itu," kata Penyelia Hutan itu ketika ditemui di rumah mayat Hospital Kemaman hari ini.

Mangsa yang yang berasal dari Bentong Pahang itu dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda sejauh 40 kilometer dari Pekan Air Putih sebelum dibawa ke Hospital Kemaman pada pukul 12.30 pagi ini

Mustafa berkata, disebabkan hujan dan jalan becak, perjalanan membawa mayat mangsa mengambil masa dua jam untuk sampai pekan Kampung Air Putih.

Ketua Polis daerah, Supritendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kematian mangsa dan mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut.

Ahad, 4 Mei 2014

Teh terakhir pengembala lembu


Teh terakhir pengembala lembu
4 Mei 2014

Teluk Intan: Seorang pengembala lembu bersama seekor ternakannya, maut selepas dipanah petir ketika hujan lebat dalam kejadian di Tali Air 6, Chenderong Balai, Labu Kubong, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa Muhamad Ramli Rais, 59, dikatakan sedang membawa 20 lembu miliknya ke kandang, sebelum dipanah petir bersama seekor daripada terkanannya itu.

Seorang rakan mangsa, Amir Din, 46, ketika ditemui berkata, ketika kejadian hujan lebat dan arwah bersamanya sempat minum petang di sebuah warung.

"Saya bersama arwah sedang minum teh di sebuah warung berhampiran, sebelum arwah tiba-tiba beredar kerana mahu membawa pulang kesemua 20 lembunya ke kandang.
"Namun, tidak sampai beberapa minit selepas itu, seorang rakan lain datang memberitahu arwah dipanah petir dan saya segera ke tempat kejadian serta melihat tubuh arwah terbujur di atas tanah berhampiran parit, manakala lembunya yang turut mati berada kira-kira 10 meter dari arwah," katanya ketika di temui di tempat kejadian.

Sementara itu, anak mangsa, Muhamad Sazuan Ramli, 19, berkata sebelum ini ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau pun tingkah laku yang pelik.

Katanya, sebelum keluar rumah arwah tidak berkata apa-apa dan kami sekeluarga tahu arwah ke padang ragut berhampiran untuk membawa pulang kesemua 20 lembu peliharaannya.

"Kami sekeluarga sangat terkejut dengan kejadian yang berlaku dan bersedih atas permegiannya, namun walaupun kejadian ini begitu tragis dan menyayat hati kami sekeluarga reda serta menerima ketentuan tuhan," katanya sebak.

Ketua Polis daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika di hubungi mengesahkan kejadian itu dan menurutnya mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat sebelum di tuntut ahli keluarganya.

"Polis mengesahkan mangsa mati akibat dipanah petir dan mengklasifasikan kes ini sebagai mati mengejut," katanya.