FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Ahad, 10 Oktober 2010

80 peratus premis di Malaysia terdedah kilat


Berita Harian 10 Okt 2010.


Sistem perlindungan petir di bangunan kerajaan tak ikut piawaian global

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan. (Surah Ar Ra’ad :12-13)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 peratus sistem perlindungan kilat yang dipasang pada bangunan termasuk hospital seluruh negara tidak menepati kehendak dan piawaian kebangsaan serta antarabangsa. Lebih teruk lagi, 90 peratus bangunan di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya pula didapati tidak dilengkapi sistem perlin-dungan kilat yang menepati piawaian termasuk bangunan hospital dan masjidnya. Yang amat membimbangkan, kebanyakan daripada 147 hospital awam di seluruh negara pula didapati tidak mempunyai sistem perlindungan kilat yang menepati piawaian. Keadaan ini selain boleh menyebabkan kerosakan pada sistem elektronik dan bangunan, ia juga memberi kesan besar kepada pesakit yang menerima rawatan.

Ini bermakna, kebanyakan bangunan di negara kita terdedah kepada bahaya kerosakan peralatan elektronik, kebakaran bangunan dan boleh mendatangkan kecederaan atau kematian kepada pengguna yang berada berhampiran peralatan yang menerima kesan panahan kilat.
Panahan kilat adalah satu `ancaman besar’ jika tidak diuruskan dengan sempurna kerana ia menghasilkan arus elektrik pada tahap tinggi iaitu 30,000 hingga 300,000 ampere dengan tahap kepanasan kira-kira 40,000 darjah celsius.

Jumlah itu terlalu tinggi berbanding kegunaan untuk satu fasa bangunan yang jumlah arus elektrik hanya 60 ampere.
Di seluruh dunia sebanyak 25,000 individu di kesan menjadi mangsa panahan kilat dan memusnahkan harta benda hingga mencecah kerugian RM3.6 bilion setahun.

Walaupun, tiada angka dan kajian berhubung kerosakan dan kerugian secara khusus di negara kita berpunca panahan kilat, angka secara keseluruhan menunjukkan masalah itu perlu diambil serius dalam memastikan keselamatan bangunan dan pengguna terjamin.

Keadaan ini ditambah dengan wujudnya sikap ‘tidak perlu bimbang’ atau ‘tidak perlu kisah’ kepada perlunya sistem perlindungan kilat yang menepati piawaian sehingga berlaku kerosakan disebabkan panahan kilat terhadap sesebuah bangunan.

Pengarah Pusat Kecemerlangan Perlindungan Kilat (CELP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir, berkata kadar panahan kilat yang tinggi dengan sebilangan besar bangunan tidak dilengkapi sistem panahan kilat yang menepati piawaian adalah satu igauan besar kepada negara.

Ini kerana katanya, bangunan termasuk peralatan elektronik terdedah kepada kerosakan dan boleh membawa kepada kecederaan atau kematian.

Beliau berkata, kadar kegagalan atau kerosakan disebabkan perlindungan bukan konvensional terbukti tinggi bukan saja di negara ini malah berlaku di negara lain seperti Indonesia, Singapura dan Sri Lanka yang rata-ratanya menerima kadar panahan kilat yang tinggi.

“Gangguan bekalan elektrik dan kerosakan peralatan elektronik akibat pancaran kilat terutama kepada sektor perindustrian menyebabkan kerugian ekonomi kepada negara. Penggunaan alat perlindungan kilat yang tidak menepati piawaian, boleh menyebabkan berlakunya risiko litar pintas yang membawa kepada gangguan bekalan elektrik atau kebakaran,” katanya.

Dr Mohd Zainal berkata, kebanyakan sistem perlindungan panahan kilat sedia ada, menunjukkan ia dipasang berdasarkan permintaan pemilik bangunan itu sendiri atau berdasarkan cadangan dibuat oleh pembekal yang tidak berasaskan kepada fakta seperti digariskan piawaian antarabangsa.

Mengikut piawaian antarabangsa, hanya sistem konvensional atau ‘Franklin System’ yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk pemasangan sistem perlindungan kilat iaitu terdiri daripada komponen Rod Franklin, konduktor penghubung antara Rod Franklin dan terminal pembumian dan rod pembumian.

“Alat perlindungan pusuan (Surge Protective Device) juga komponen penting bagi perlindungan dalaman seperti barang elektrik di dalam bangunan. Ini bertepatan dengan prosedur digariskan dalam piawaian oleh SIRIM (MS-IEC 62305) dan Suruhanjaya Elektroteknikal Antarabangsa (IEC).

“Sehingga kini sistem bukan konvensional menjadi isu besar di dalam konsep dan kaedah perlindungan kilat di serata dunia kerana kos pemasangannya mahal tetapi tidak mempunyai bukti teknikal dan saintifik untuk perlindungan kilat yang berkesan hingga ditentang keras oleh saintis di seluruh dunia,” katanya.

Dalam menyediakan sistem perlindungan kilat yang mengikut piawaian, kosnya bergantung kepada saiz bangunan, peralatan di dalam bangunan terbabit dan prosedur ini sudah dinyatakan dengan jelas di dalam piawaian yang dikeluarkan IEC.

Malaysia hadapi jumlah petir tertinggi

KUALA LUMPUR: Jumlah kilat yang berlaku di negara ini adalah antara tertinggi di dunia apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) merekodkan, secara purata dalam tempoh setahun ia berlaku sebanyak 190 hari.

Pengarah Kajian Pusat Kecemerlangan Perlindungan Kilat (CELP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir, berkata keadaan itu dua kali ganda lebih tinggi berbanding di Florida, Amerika Syarikat yang hanya merekodkan sebanyak 80 hari dalam setahun.

Katanya, kawasan Subang, Selangor pula adalah kawasan yang mempunyai kadar penerimaan kilat tertinggi iaitu sebanyak 362 hari dalam setahun pada 1987.

“Keadaan ini, mengatasi daerah Bogor, Indonesia yang dicatat dalam Guiness Book of World Records, dengan 322 hari penerimaan kilat dalam setahun pada 1988.

“Apa yang membimbangkan sebagai sebuah negara berstatus perindustrian, dengan jumlah penerimaan kilat sebanyak itu, ia meletakkan negara pada kedudukan teratas dalam jumlah panahan kilat yang dikenali sebagai ‘Mahkota Kilat’ (Crown of Lightning),” katanya kepada Berita Minggu.

Katanya, sistem perlindungan kilat yang mengikut piawaian amat penting bagi memastikan setiap bangunan selamat daripada panahan petir yang boleh mengakibatkan kerugian dan kehilangan nyawa.

“Bagi memastikan keselamatan bangunan di negara ini daripada panahan kilat, CELP UPM bekerjasama dengan saintis dalam dan luar negara untuk mengajar dan membina kesedaran di kalangan masyarakat ke arah kepentingan keselamatan kilat serta kepentingan perlindungan kilat menggunakan kaedah yang hanya diluluskan oleh piawaian antarabangsa.

“Seminar dan kempen juga diadakan kepada jurutera dan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung di dalam bidang penyelidikan kilat di negara ini dan luar negara untuk mempertingkatkan kepekaan terhadap tahap keselamatan dengan memasang alat perlindungan kilat menepati standard Suruhanjaya Elektroteknikal Antarabangsa (IEC) dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/80peratuspremisterdedahkilat/Article